KUALA LUMPUR: Ketika orang ramai kecoh dengan penyebaran video kelibat hantu berkebaya merah, pihak Astro Shaw yang melakukan gimik tersebut berbangga apabila perancangan itu tular sekali gus meraih 27 juta tontonan.
Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, pihaknya memang sengaja menerbitkan video itu dengan tujuan untuk ia menjadi tular dalam usaha melakukan kempen mempromosikan filem Dukun yang terperam selama 12 tahun selain menyifatkan idea itu berjaya.
“Video itu memang kami yang hasilkan sebagai satu bentuk kempen sebelum kami mengumumkan tarikh tayangan Dukun kepada umum.
“Bagaimanapun tidak sangka pula strategi itu berjaya menarik perhatian orang ramai sehingga ia mendapat 27 juta tontonan setakat ini,” katanya.
Najwa ditemui pada tayangan perdana Dukun yang diadakan pada petang Rabu.
Ia menampilkan barisan pelakon seperti Datin Umie Aida, Namron, Faizal Hussien, Elyana, Adlin Aman Ramlie dan Bront Palarae dan mula menemui penonton di pawagam bermula hari ini (5 April).
Baru-baru ini netizen kecoh menyebar dan membincangkan mengenai sebuah video kelibat wanita berkebaya merah dengan pelbagai andaian dan spekulasi mengenai kejadian itu.
Namun mereka tidak menyedari ia adalah satu gimik yang berjaya dilakukan pihak Astro Shaw bagi mempromosikan Dukun yang secara tidak langsung memperlihatkan netizen begitu mudah menerima diperdayakan dengan perkara sedemikian rupa.
Dalam pada itu, Najwa menjelaskan Dukun sebenarnya bukan kisah adaptasi daripada kes pembunuhan berprofil tinggi yang membabitkan ahli politik Datuk Mazlan Idris dan Mona Fandey yang didakwa pengamal ilmu hitam.
Sebaliknya kata Najwa, jika dilihat jalan cerita sebenarnya ia tidak mempunyai kaitan sebaliknya ia lebih mengangkat kisah mengenai ketaksuban manusia dalam pelbagai perkara menerusi amalam syirik dan khurafat.
"Skrip dizahirkan cukup kuat dan berlatarkan kisah yang sememangnya berlaku dalam masyarakat kita yang ada di antaranya memilih jalan mudah dengan membelakangkan agama.
"Ia bukan berkisar mengenai sesiapa sebaliknya ia ada jalan cerita tersendiri yang boleh dikaitkan dengan kehidupan seharian kita," katanya.
Untuk rekod, Dukun diharamkan tayangannya pada Disember 2006 oleh Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) kerana jalan ceritanya yang kontroversi dan boleh meniyinggung perasaan.
Sementara itu, Najwa berkata, pihak teruja apabila Dukun ditayangkan menerusi 100 buah panggung di seluruh Malaysia termasuk Brunei.
Malah kata Najwa, pihaknya turut merancang untuk mengedar Dukun ke beberapa negara lain.
Dukun arahan Dain Said dibintangi oleh Datin Umie Aida, Adlin Aman Ramli, Namron, Faizal Hussein, Bront Palarae, Nadiya Nisaa, Mislina Mustafa, Soffi Jikan, Hasnul Rahmat dan Elyana.
No comments:
Post a Comment