VICTORIA Beckham dan David Beckham dikatakan bakal berpisah selepas bekas bintang bola sepak itu berbual dengan supermodel Bella Hadid dalam satu perlawanan bola sepak di Paris.
Bagaimanapun laporan tabloid itu didapati palsu apabila Gosip Cop secara eksklusif diberitahu oleh wakil pasangan itu bahawa tidak ada kebenaran dalam cerita itu.
Segalanya bermula apabila bulan lalu, David duduk di sebelah Hadid dalam perlawanan bola sepak melibatkan Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid.
Kedua-dua mereka dirakamkan gambar bersalaman dan berbual mesra.
Majalah tabloid OK! menimbulkan sensasi terhadap senario itu dengan mendakwa Victoria berasa malu melihat suaminya berinteraksi dengan supermodel dari Amerika Syarikat itu.
Memetik sumber yang mencurigakan, pasangan suami isteri yang berkahwin hampir 20 tahun itu dikatakan sudah lama menghadapi masalah perkahwinan, tetapi 'melihat seorang model muda cantik berbual mesra dengan suaminya ibarat menambah garam pada lukanya'.
Orang dalam itu turut menambah kononnya situasi itu adalah kemuncak untuk mereka menjalani kehidupan berasingan untuk seketika.
Sumber yang ternyata palsu itu tidak memberikan sebarang keterangan atau beberapa butiran untuk menyokong dakwaan bahawa David dan Victoria menuju perceraian.
Apa yang dikatakan hanyalah kedua-dua mereka tidak dapat mencapai kata sepakat di mana untuk tinggal.
Perlu dinyatakan bahawa pasangan ini mempunyai rumah di London, Los Angeles dan Miami, jadi tidak mungkin pasangan superstar ini hanya mampu untuk tinggal di satu tempat.
Gossip Cop secara eksklusif diberitahu oleh jurucakap David dan Victoria bahawa perkahwinan mereka tidak hancur seperti yang digembar-gemburkan.
Laporan Gossip Cop menyatakan bahawa mereka yakin bekas anggota kumpulan Spice Girl itu tidak kecewa hanya kerana suaminya bercakap dengan wanita lain dalam satu perlawanan bola sepak.
"Ini bukan cerita, tetapi hanya rancangan untuk mencipta kontroversi yang tidak wujud," lapor Gossip Cop.
Malah, tidak mengejutkan pun apabila OK! yang sering cuba memecah-belahkan pasangan ini, melakukan percubaan terbaru sekali lagi.
Januari lepas, Gossip Cop mematahkan laporan tabloid itu yang melaporkan David dan Victoria bakal bercerai. Jelas sekali, itu tidak berlaku.
Malah, platform berita yang tidak boleh dipercayai itu turut menerbitkan beberapa cerita sepanjang 2017 yang mendakwa mereka menuju perpecahan.
No comments:
Post a Comment